Menjelang perlawanan suku akhir pertama Piala AFC 2012 di antara Kelantan menentang Erbil SC di Iraq malam ini, menarik untuk diketahui bahawa Arbil FC sebenarnya telah datang ke Malaysia pada tahun lepas dalam satu perlawanan persahabatan menentang Harimau Muda A.
Harimau Muda A pada ketika itu dalam rangka persiapan menghadapi perlawanan kelayakan Olimpik 2012 ititu beberapa minggu sebelum menentang pasukan olimpik Jepun di Fukuoka.
Erbil SC pula dalam persiapan untuk perlawanan suku akhir Piala AFC 2011 menentang kelab Indonesia, Persipura Jayapura musim lalu dimana mereka layak ke separuh akhir dengan agregat 3-1 (2-1, 1-0).
Harimau Muda A dibawah pengendalian Ong Kim Swee berjaya mengikat Erbil SC yang menurunkan pemain-pemain utamanya seperti Muslim Mubarak, Amjad Radhi, Luay Salah, Sarhang Muhsin dan lain-lain.
Erbil SC dalam perlawanan tersebut juga sebenarnya telah menurunkan 6 pemain Erbil yang turut mewakili pasukan kebangsaan Iraq pada masa itu dalam kelayakan Piala Dunia 2014.
Kecemerlangan pertahanan Harimau Muda A yang dibarisi oleh Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Zubir Azmi dan Amer Saidin pada masa itu menafikan banyak percubaan daripada Erbil SC.
Menurut tulisan Joe Marcose, pegawai media FAM dan juga bekas editor sukan di Utusan Malaysia yang telah melihat sendiri perlawanan tersebut, Erbil SC memiliki corak permainan yang amat bermutu.
Beliau menerangkan bagaimana Erbil bermain secara 'pintar', tidak kerap melakukan 'back pass' atau hantaran ke bahagian pertahanan serta, memiliki kawalan bola yang baik, hantaran yang tepat kepada rakan sepasukan serta cepat merampas bola daripada pihak lawan.
Pemain-pemain Erbil juga digambarkan sebagai berbadan tegap dan memiliki ketinggian melebihi pemain-pemain skuad Olimpik Malaysia pada waktu itu kecuali Izzaq Faris Ramlan.
Kesimpulannya, walaupun Erbil SC memiliki pakej yang lengkap sebagai pasukan Timur Tengah yang hebat, adalah tidak mustahil bagi pasukan dari Asia Tenggara untuk memberikan saingan yang sengit kepada mereka.
Kelantan walaupun turun tanpa beberapa pemain utama masih mampu melakukan kejutan di Iraq atau pun sekurang-kurangnya mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan ini kerana peluang untuk layak ke separuh akhir akan hanya ditentukan selepas perlawanan yang kedua di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu.
Aksi di Kota Bharu menjanjikan suasana yang hebat dengan sokongan penyokong setia The Red Warriors yang akan datang memberikan sokongan kepada pasukan mereka. Kelantan juga tidak pernah tewas di Kota Bharu.
0 ulasan:
Catat Ulasan